Pesawah Padi Di Temburong Hadapi Masalah Kewangan

 
 

LIMBARUH HIJAU 28HB FEB 2006: Parti Pembangunan Bangsa (NDP) telah menerima aduan dari beberapa pesawah padi di Daerah Temburong yang mendakwa hasil jualan padi mereka sejak Julai tahun lepas belum lagi dijelaskan oleh pihak Jabatan Pertanian. Mereka mendakwa sejumlah B$768,096 belum lagi dijelaskan sehingga kehari ini menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk meneruskan usaha menanam padi seperti mana yang dihasratkan oleh Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

“Pihak NDP sangat bersimpati terhadap aduan dan keluhan yang di hadapkan oleh penanam padi yang terlibat”, jelas Abdul Halim bin Haji Jumat, Pengarah Hal Ehwal Awam Biro Penerangan dan Hal Ehwal Awam,NDP. “Aduan ini telahpun kami panjangkan ke pihak Jabatan Pertanian dan berharap tindakan-tindakan segera akan diambil agar masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawah-pesawah di Temburong dapat diatasi secepat mungkin”, tambah Awang Halim dalam satu temubual dengan Aspirasi NDP petang tadi.. Menurut beliau pihak NDP telah menerima aduan ini semasa rombongan NDP yang diketuai oleh Sdra Haji Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP membuat kunjungan muhibbah ke Ladang Padi Lekiun Temburong pada 24hb Februari lepas.

Menurut Awang Halim lawatan itu bertujuan untuk melihat secara lebih dekat lagi permasalahan yang diadukan oleh pesawah-pesawah tersebut kepada pihak NDP. Katanya masalah skim pembelian padi oleh Jabatan Pertanian yang belum di bayar dan isu-isu berkaitan keperluan dokongan dan tindakan Jabatan Pertanian pernah juga diadukan oleh pesawah-pesawah semasa perjumpaan dengan pihak Biro Pertanian dan Industri Asas Tani Parti Pembangunan pada 12 Disember 2005.

“Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani NDP juga pernah memanjangkan masalah yang sama yang dihadapi oleh peladang dan penanam padi di Mukim Lekiun-Perdayan dan KPLB Selapon kepada Jabatan Pertanian dan juga salinan surat lapuran suara hati penanam padi yang diserahkan kepada Yang Mulia Pegawai Daerah Temburong untuk tindakan pihak berkenaan”. Menurut laporan, kata Awang Halim, tunggakkan pembayaran skim pembelian padi musim 2004/2005 sejak bulan Julai 2005 itu ialah bagi pembelian padi sebanyak 480,060 kg atau 480.06 ton yang dibuat oleh Jabatan Pertanian. Sehingga kini, Jabatan Pertanian nampaknya belum lagi dapat membuat sebarang bayaran kepada penanam-penanam padi yang terlibat, tambah Awang Halim.

Beliau meluahkan rasa kesal terhadap perkara ini dan berkata bagi sebahagian besar dari mereka, skim ini adalah satu-satunya mata pencarian dan sebagai sumber pendapatan mereka yang berkekalan .
Beliau menambah beberapa orang penanam padi, diantaranya Awg Gelawat bin Okang, Awang Janlita Anak Mingan, Awg John Lita, Awg Agok , Awg Serudin Pungut dan Awg Amir serta Awg Sichang Lopat dari Kg Selapon telah juga menimbulkan perkara yang sama, iaitu skim pembelian padi oleh Jabatan Pertanian yang belum di bayar.

Menurut maklumat yang diterima sejumlah B$400,016 tunggakkan pembayaran belum dijelaskan kepada seramai 120 penanam padi di Ladang Pedayan Mukim Labu dan sejumlah B$282, 720 tunggakkan pembayaran belum dijelaskan kepada seramai 93 penanam-penanam padi di Ladang Kampong Lekiun Mukim Bato Apoi.

Juga turut terlibat ialah seramai 27 orang penanam-penanam padi Ladang Kampong Negalang Unat Mukim Batu Apoi yang belum menerima bayaran. Jumlah yang tertunggak ialah sebanyak B$85, 360.

“Pada pandangan NDP, mereka amat memerlukan pembayaran berkenaan dengan segera. Kelewatan pembayaran ini telah menjejaskan pengambilan tenaga menusia sehingakan disesetengah sawah, padinya telah mulai rosak kerana kelewatan menuai. Banyak padi-padi yang rimpih dan takungan air disawah yang banyak menyebabkan pokok padi rosak dan dijangkiti penyakit”, kata Awang Halim lagi.

“Sehubungan dengan ini, NDP merayu kepada pihak-pihak yang berwajib agar mengambil tindakan yang segera bagi mengatasi masaalah tunggakan pembayaran kepada penanam-penanam padi ini supaya mereka boleh meneruskan usaha penanaman padi dengan baiknya".

“Pihak NDP dalam mendokong dan menyokong perlaksanaan projek-projek seperti penanaman padi di kawasan Lekiun akan sentiasa bersama-sama dengan Jabatan Pertanian berusaha memberikan khidmat bakti kepada mereka dalam bentuk khidmat nasihat dan apa jua ikhtiar yang dapat kami ungkayahkan”, tegas Awang Halim.

NDP, katanya lagi, akan sentiasa menyokong penuh apa jua kegiatan bagi mencapai program-program keselamatan makanan negara di mana salah satu darinya ialah usaha penanaman dan pengeluaran padi tempatan secara berterusan.

“Pihak NDP juga menyokong penuh skim pembelian padi negara disamping mengenal pasti isu-isu ke arah peningkatan pengeluaran dan mutu hasil serta mengambil kira kemudahan infrastruktur ladang yang di kemaskinikaaan dan di laksanakan begitu rapi tanpa menjejaskan kelewatan pembayaran skim”, tegasnya lagi.

Aspirasi NDP di fahamkan pihak Jabatan Pertanian bersama Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan menganjurkan pesta menuai di Temburong pada minggu hadapan. Harapan NDP masalah yang dihadapi oleh pesawah-pesawah di Daerah Temburong akan dapat selesai secepat mungkin agar pesawah-pesawah dapat dengan sepenuh hati berpesta dan bergembira di Pesta Menuai itu nanti.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.