MERANGKA DASAR PERTANIAN MAKANAN

MAKANAN sebagai satu keperluan asas adalah satu tanggungjawab utama yang perlu ditangani oleh kerajaan Kebawah DYMM atau mana-mana jua kerajaan.

Justeru itu Parti Pembangunan Bangsa (NDP) memulakan persoalan ekonomi negara dengan memberi penekanan perlunya negara menyediakan pengeluaran makanan untuk penduduk Negara Brunei Darussalam yang secukupnya baik dalam masa aman mahupun dalam masa krisis.

Dalam Manifesto Parti Pembangunan Bangsa 2006 - 2016, NDP telah mengariskan bahawa parti mencadang, menyukong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk merangka dan membangunakan dasar pertanian makanan bagi menjamin pengeluaran bahan-bahan makanan terutama sekali makanan asas yang mencukupi, berkhasiat, bersih dan halal bagi menjamin kesihatan rakyat dan keperluan negara semasa aman mahu pun krisis dan memastikan rakyat sentiasa mendapat bekalan makanan berkhasiat, bersih dan halal.

Persoalan ini diketengahkan oleh NDP berdasarkan beberpa faktor, antaranya bagi menyahut dan mengetengahkan titah Kebawah DYMM sempena Persidangan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dan di Musim Permesyuaratan Kedua MMN pada 15 Mac 2006 supaya sektor pertanian dipertingkatkan bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan-bahan makanan import.

Sehubungan dengan itu, dengan penuh keinsafan, NDP didalam Kongresnya yang pertama pada 30 April 2006 telah menyukong titah ini dengan mengemukakan rasional bahawa, keselamatan negara dan kebajikan rakyat terikat kepada pelbagai angkubah (variable) dan amat terdedah kepada pergolakan politik negara pembekal bahan-bahan makanan asasi rakyat kerana nisbah pergantungan import negara begitu besar.

Kongres pertama NDP tersebut telah mengambil persetujuan dan ketetapan “mendesak Kementerian Perindustrian dan Sumber Utama mengambil langkah-langkah strategik bagi menghasilkan bekalan makanan yang cukup, berkhasiat dan bermutu demi keselamatan dan kesejahteraan Negara dan rakyat sama ada semasa aman atau krisis”.

Urutan dari ketetapan Kongres tersebut, Alhamdulillah, Kebawah DYMM seperti memberikan isyarat menyokong ketetapan tersebut bila mana, hanya selang 75 hari dari ketetatapan Kongres tersebut Baginda sekali lagi menyusul titah pada 15hb Julai 2006 sempena hari keputeraan baginda ke 60, menyebutkan,“...langkah mempelbagaikan ekonomi juga amatlah penting memandangkan perkembangan dunia yang tidak menentu. Selain minyak dan gas sumber-sumber lain juga seperti pertanian turut membawa kita terpanggil untuk menerokanya lebih jauh kerana kita tidaklah boleh selama-lamanya bergantung kepada pihak luar dan malah menjadi satu kesilapan yang ketara jika kita tidak mengambil kira faktor-faktor dan politik yang mendatang”

Tiada siapa dan tiada sebab mana-mana pihak memperlekeh dan memandang ringan keperihatinan Kebawah DYMM sebagai Ulil Amri keatas kerisaun Baginda itu, kerana ia ada kaitan dengan survival bangsa dan keutuhan negara.

Betapa Baginda menginsafi setiap rakyat Baginda dan penduduk Negara Brunei Darussalam tiada yang kebuluran dan mereka berhak mendapat bahan makanan terjamin cukup, berkhasiat dan bermutu tinggi pada setiap masa.

Jika semua pihak bersungguh-sungguh, Insyaallah hasrat Baginda ini dengan izin Allah pasti akan tercapai.

Melalui perancangan yang baik, kita boleh mengeluarkan sendiri makanan asas yang mencukupi memandangkan negara kita masih mempunyai tanah yang luas, subur dan berpotensi untuk dibangunkan bagi penghasilan yang ekonomikal bagi produk-produk yang terpilih melalui pembudayaan pertanian rakyat dan pengeluaran makanan sara diri.

Seiringan dengan itu, keupayaan pengeluaran negara hendaklah ditingkatkan secara lebih aggresif lagi melalui pembangunan infrastruktur, latihan, suntikan modal dan modal insan.

Kita mesti belajar dari ajaran yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf a.s. betapa baginda dalam masa makanan masih cukup merancang membangunkan pertanian di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi krisis makanan masa depan.

Dalam masa tanah subur dan hasil bahan makanan melempah ruah Baginda Nabi Yusof a.s. memastikan bekalan makanan yang diedarkan kepada pengguna sekadar mencukupi dan dipastikan stok simpanan makanan tidak kehabisan.

Pada ketika yang sama program pengeluaran makanan berjalan terus untuk kegunaan semasa dan untuk simpanan hari muka.

Dengan dasar itu, ketika semua negara menghadapi krisis makanan akibat kemarau yang panjang, Mesir yang ditadbir oleh Nabi Yusuf a.s. mempunyai simpanan makanan yang secukupnya untuk keperluan tujuh tahun, malah dapat pula membantu negara-negara yang kekurangan makanan.

Negara Brunei Darussalam perlu mengambil semangat Mesir di zaman Nabi Yusuf a.s. itu bagi merangka pembangunan pertanian supaya penduduknya mendapat bekalan makanan yang secukupnya dalam apa jua keadaan.

Dua negara contoh pada hari ini yang menguat kuasakan dasar pertanian yang boleh dilihat berjaya, malah berjaya menjadikan kejayaan dasar pertanian mereka itu kedalam system pertahanan dan hubungan luar mereka, ialah Iran dan Syria.

Kedua negara mempunyai makanan asas yang melimpah ruah sehingga mereka berjaya memperkasakan jati diri bangsa mereka dengan tidak semudahnya tunduk kepada sebarang tekanan “economic sanctions” dari pihak luar, malah berupaya pula ‘menyedekahkan’ hasil bijiran mereka kenegara-negara miskin.

Pertanian makanan adalah meliputi bidang perikanan dan penternakan.

Kesemuanya mesti dibangunkan. Jika pun dalam keadaan negara tidak dapat berdikari atau belum dapat berdikari dalam pengeluaran makanan, tetapi mesti ada dasar, sekurang-kurangnya ada rancangan bahawa import dapat diminimakan sebelum mencapai tahap berdikari.

Pengeluaran makanan ada hubungannya dengan tahap kesihatan dan kecergasan rakyat. Ketahanan rakyat bukan sekadar mendapat makanan yang secukupnya saja, tetapi makanan yang dihasilkan itu hendaklah berkhasiat, bermutu, suci dan halal.

Kesihatan dan ketahanan rakyat amat bergantung kepada makanan yang berkhiasiat dan bermutu tinggi. Dan kesihatan yang dimaksudkan bagi masyarakat Brunei bukan saja sihat tubuh badan, tetapi yang utama ialah sihat iman dan fikiran yang hanya diperolehi dari makanan yang barakah.

Bagi menjamin iman dan aqidah, rakyat hendaklah sentiasa sihat dan terpelihara, masing-masing memerlukan makanan yang berkhasiat, suci dan halal.

Lembu, beras dan segala sayuran adalah bahan yang halal, tetapi ia menjadi haram apabila didapati dan diproses dengan cara yang tidak halal.

Dasar R & D iaitu Kajian dan Pembangunan dalam bidang komoditi pertanian perlu diteruskan dan menggiatkan lagi jaringan kerjasasama pintar dengan institusi-institusi berkaitan sama ada dalam atau diluar negara.

Kita hendaklah mengambil kira bahawa tanah tidak dibazirkan, setiap tanaman mesti sesuai dengan tanahnya dan dari keluasan tanah yang terhad itu dapat menghasilkan pengeluaran yang sebanyak-banyaknya.

Pada hemat NDP pembangunan fizikal negara pada amnya hendaklah mengambil kira semua ini.

Inilah agaknya maksud tersirat yang sering dinasihatkan oleh Kebawah DYMM agar semua pihak sentiasa ‘bersepadu’ dalam sebarang gerak kerja.

Genarasi kita akan datang tentunya akan menangisi genarasi kita hari ini semata-mata kerana kita gagal melihat keperluan masa depan mereka.

Bagaimana agaknya Brunei disuatu hari nanti jika tidak lagi mempunyai sawah untuk ditanami padi kerana semua sawah telah dikambus dan didirikan bangunan-banguan konkrit?

Dalam kerangka aspek pembangunan pertanian ini, adalah penting dibuat pengolahan dan penentuan nisbah strategik pengeluaran pertanian negara berbanding bekalan luar demi menjamin keselamatan Negara dalam apa jua keadaan atau senario.

Kita juga berpandangan bahawa dalam dasar pertanian makanan ini, pihak-pihak berkenaan mestilah juga menjurus sama kearah dasar mewujudkan industri pemakanan yang pro-aktif.

Di samping kita bercita-cita untuk berdikari dalam pengeluaran bahan makanan asas, maka kita juga perlu menjamin mendapatkan bahan-bahan bagi memenuhi pengisian industri makanan.

Demikianlah, pada hemat NDP, betapa negara kita memerlukan penggubalan dasar keselamatan permakanan dan komoditi sara diri demi menentukan hala tuju negara dalam bidang pertanaian dan industri asas tani demi survival bangsa. -mmo

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.