Beras boleh jejas kedaulatan negara

 
 

LIMBARUH HIJAU OCTOBER 1, 2006: - Walaupun kos mengimport beras, makanan asasi bagi kebanyakkan negara di Asia jauh lebih murah dari kos menghasilkannya sendiri, namun negara-negara maju seperti Malaysia dan Jepun tetap berusaha untuk menghasilkan beras sendiri demi memastikan rakyat tidak kebuluran dan kedaulatan negara tidak tergadai jika berlaku darurat dan terputusnya bekalan beras dari luar negara

Pokoknya negara maju seperti Malaysia dan Jepun sedar isu kedaulatan dan keselamatan negara serta isu survival bangsa tidak dapat diukur dari aspek dollar dan sens nya sahaja atau dicongak-congak praktikalnya dalam melakar program pembangunan negara.

"Setentunya bagi negara maju di Asia menigimport beras lebih jauh murah belanjanya dibanding dengan menghasilkannya sendiri. Akan tetapi dari aspek memelihara keselamatan negara, Malaysia contohnya wajib menghasilkan berasnya sendiri".


Begitulah pandangan seorang iluman dari Malaysia ketika ditemuramah oleh agensi Berita BERNAMA baru-baru ini.

Dalam temuramah itu Dr Syed Omar Syed Rastan berkata pengantungan bertersuan sesebuah negara kepada beras yang dihasilkan oleh negara lain adalah satu perkara yang merbahaya.

"Kita tidak boleh meletakkan nilai harga kepada semuanya apabila kita mengambil kira soal kedaulatan negara, keamanan dan keselamatan", tegas Profesor Dr Syed Omar Syed Rastan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

"Rakyat kita akan merana jika tidak dibekalkan dengan beras yang cukup. Ramai yang akan kebuluran jika bekalan beras terputus. Sebab itulah negara Jepun, misalnya, terus menghasilkan berasnya sendiri walaupun kosnya lebih tinggi dibanding dengan kos mengimport", tambah beliau lagi.

Tepat sekali apa yang dijelaskan oleh Dr Syed Omar itu dan dalam kontek kita di Brunei ianya sangat-sangat relevan dan memperkukuhkan lagi kerisauan-kerisauan yang selalu dibangkitkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Bagnda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai dengan isu keselamatan negara yang Baginda pernah kaitkan dengan isu keselamatan permakanan.



Berikut petikkan titah Baginda berhubung keselamatan permakanan yang perlu kita hayati dan terjemahkan dalam gerak kerja kita menjunjung titah membangun bangsa:


"Sikap lebih terbuka kearah mempelbagaikan ekonomi juga adalah penting, sebagai cara mengukuhkan lagi ‘survival’ negara, termasuk menigkatkan pelaburan asing dan menjalankan dasar ‘bumi hijau’ dengan lebih aktif".

"Tidaklah kena bagi kita menunggu lama-lama, hanya oleh kerana kita ini sudah terbiasa mengimport bahan-bahan, sekalipun ianya hanya berupa sayur-mayur dan buah-buahan. Pada hal semua itu boleh tumbuh dan subur di bumi sendiri".

"Senario ini amatlah tidak sesuai dengan sifat negara membangun. Oleh itu, ia mestilah diatasi. Kita perlu membiasakan diri bergerak lebih pantas, serta menyingkirkan anggapan, bahawa sumber yang sedia ada adalah memadai. Kita tidak boleh leka dari menghadapi keadaan-keadaan yang tidak mungkin diduga. Kita tidak tahu, sumber minyak dan kemampuan kerajaan, sampai bilakah ia bertahan?"

Mengambil iktibar titah Dirgahayu 60

Jika kita mengkaji situasi negara sekarang kita akan mendapati bahawa keselamatan negara dan kebajikan rakyat kita masih terikat kepada pelbagai angkubah (variable) dan amat terdedah kepada pergolakan politik negara pembekal bahan-bahan makanan asasi rakyat.

Nisbah pergantungan import begitu besar dan dengan sendirinya kita telah letakkan negara kedalam keadaaan bahaya dan berisiko tinggi.

Bertolak dari sini dan menyadari akan hakikat ini serta atas kesedaran untuk membantu Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) melalui Biro Pertanian dan Industri Asas Tani telahpun membawakan satu usul berhubung keselamatan permakanan di Kongres Pertama parti pada 29 - 30 April lalu.

Kita berharap sumbangan cadangan dan idea ini dapat dikongsikan bersama agar apa yang baik dapat dimenafaatkan dan mana yang kurang dapat diperbaiki bersama.

Dalam kontek keselamatan permakanan misalnya NDP dalam usul yang disampaikan oleh Awang Haji Matzin Saleh, Ketua Biro Pertanian dan Industri Asas Tani NDP meluahkan berpandangan bahawa negara perlu kepada satu penggubalan dasar keselamatan permakanan dan komoditi sara diri yang menentukan hala tuju negara dalam bidang pertanian.

Katanya kita juga melihat pentingnya dibuat pengolahan dan penentuan nisbah strategik pengeluaran pertanian negara berbanding bekalan luar yang menjamin keselamatan negara dalam apa jua keadaan sama ada waktu aman atau semasa timbul sebarang pergolakan.

Keupayaan pengeluaran negara juga, tegas Haji Matzin dalam usul itu, perlu ditingkatkan melalui pembangunan infrastruktur, suntikan modal dan modal insan.

Dalam aspek kawasan tanah pula, tambahnya, negara mempunyai tanah dan potensi untuk penghasilan yang ekonomikal bagi produk-produk yang terpilih melalui pembudayaan pertanian rakyat dan pengeluaran makanan sara diri.

Beliau juga bercadanag agar usaha dapat diambil untuk memperkenalkan penggunaan teknologi tertentu yang akan dapat membantu mempercepatkan pembangunan dan peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan.

Kawasan-kawasan baru yang perlu dibuka pula, katanya, hendaklah di dukung dengan kemudahan infrastruktur, peraturan dan kemudahan sumber tenaga serta kewangan yang diperlukan bagi menjana pengeluaran.

NDP juga mensyorkan agar pemberian bantuan dan skim atau grant tertentu perlu dipercepatkan bagi membantu mengembangkan, pembukaan kawasan, pembangunan komoditi dan industri asas tani yang berterusan dan berkekalan.

Juga dicadangkan oleh NDP ialah pemajuan R&D dalam bidang komoditi pertanian yang perlu diteruskan dan dan usaha untuk mengadakan jaringan kerjasama dengan institusi terlibat sebagai konsultan dan rujukan.

Lain-lain perkara yang dicadangkan ialah:

  • Penggunaan tenaga mahir perlu dipermudahkan untuk pembekalan/pengeluaran hasil pertanian yang berterusan.

  • Mutu hasil dengan “sijil standard” diperakui oleh kerajaan perlu ditawarkan kepada ladang/syarikat.

  • Kumpulan sasaran dan bilangan usahawan perlu disasarkan sebagai usahawan perintis dalam bidang terlibat.

  • Pemudahan peraturan dalam penggunaan tanah, tenaga mahir dan pakar, modal atau kewangan dan keusahawanan.

  • Menubuhkan Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani yang boleh menjana perkembangan komoditi untuk eksport. o Menentukan jenis komoditi hiliran untuk kemudahan eksport melalui agensi atau Lembaga Pemasaran dan Industri Asas Tani.

  • Penubuhan pusat-pusat pengumpulan hasil pertanian setempat secara berkumpulan. o Penubuhan satu lembaga kewangan yang boleh menjana kemudahan keperluan ladang dan pembangunan industri kecil asas tani.

  • Menggerak dan menggiat semula pembukaan kawasan-kawasan kemajuan pertanian luar Bandar. Skim ini hendaklah dimajukan semula berpandukan kepada asas dasar Kemajuan Pertanian Luar Bandar (KPLB) sebenar dengan penghasilan disasarkan kepada usaha mengurangkan import semasa.

  • Penubuhan Kumpulan Petani Tradisi dan Peladang Subsistem untuk memasarkan hasil mereka secara kolektif dan bersatu kumpul, secara berpusat perkhidmatan yang menawarkan sumber keluaran tempatan. Ia akan bersatu dalam pengeluaran, pengurusan dan memasarkan hasil secara kontrak.

  • Pihak kerajaan perlu menimbang supaya pembekalan beras dan gula diperbadankan supaya produk ini boleh dieksport semula ke luar negara melalui nilai tambah. Cara ini akan dapat mengembangkan pembangunan usahawan kecil. Bahawa isu keselamatan permakanan dan penjanaan komoditi sara diri hendaklah dilihat dan diiktiraf sebagai persoalan strategik dan keselamatan negara dan bangsa bagi menjamin tersedianya makanan yang cukup dan terjangkau oleh rakyat dan menamatkan ketergantungan yang melampau.
PETIKAN TITAH
"Tidaklah kena bagi kita menunggu lama-lama, hanya oleh kerana kita ini sudah terbiasa mengimport bahan-bahan, sekalipun ianya hanya berupa sayur-mayur dan buah-buahan. Pada hal semua itu boleh tumbuh dan subur di bumi sendiri".

"Senario ini amatlah tidak sesuai dengan sifat negara membangun. Oleh itu, ia mestilah diatasi. Kita perlu membiasakan diri bergerak lebih pantas, serta menyingkirkan anggapan, bahawa sumber yang sedia ada adalah memadai. Kita tidak boleh leka dari menghadapi keadaan-keadaan yang tidak mungkin diduga. Kita tidak tahu, sumber minyak dan kemampuan kerajaan, sampai bilakah ia bertahan?"
(Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Keputeraan ke 60)



 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.